Saturday, 17 March 2012

58.Kamilah Hakim

Nyalaan lampu pentas
menyilau mata
kami penonton terpinga ternganga
rasanya sumbang lagu yang kau nyanyikan
bingit nyaring suaranya menikam gegendang telinga
berbaloikah sandiwara itu kau pentaskan kembali.

Ada rindu di hati kami
yang sentiasa kau khianati
dan kami sudah jelak menanti
kau tunaikan janji
selamat aman dan makmur.

Akan dipentaskan kembalikah
epesod mengusung tilam berdebu
agar kami tidak lupa dan keliru
menobat dan menganugrahkan
kau benar-benar pengarah terhebat abad ini.

Barangkali kau benar-benar sudah lupa
seperti kata orang tuamu
Melayu mudah lupa
tapi kami bukan species seperti itu
akan sentiasa kami rakamkan
gerak lakun sandiwaramu
di balik tirai pentas yang ternganga
akan kami hidangkan
menjadi santapan dan kunyahan
anak bangsa dan keturunan
kamilah hakim yang akan mengadili
siapakah antara kamu
benar-benar seorang penipu.


Yajuk
Bj08072008

• SAJAK > 2008
> Kamilah Hakim disumbangkan pada Khamis, 31 Julai 2008 11:44:34 AM • Kali
terakhir diubah pada Khamis, 31 Julai 2008 11:44:34 AM oleh yajuk

57.Hati Telah Pecah

Hati yang retak
merekah dan pecah
terbelah mendakap benci
tak mungkin bercantum kembali.

Ada aliran lumpur merah
di lurah dalamnya
bertakung di kawah imarah
telah berkelodak dasar kasih
telah berdebu cermin rindu
tertanpan mimpi di selimut nafsu.

Kau yang lahir di selimut Hawa
membesar di kandang serigala
mencakar membunuh kemanisan rindu
menginjak menghempas maruah sendiri
aku tak bisa lagi mengukir senyum
menatap wajahmu di cermin berdebu
ada beribu wajah lelaki terpahat di situ.

Yajuk
Bj28082008

• SAJAK > 2008
> Hati Telah Pecah disumbangkan pada Selasa, 29 Julai 2008 9:09:07 AM • Kali
terakhir diubah pada Selasa, 29 Julai 2008 9:09:07 AM oleh yajuk

56.Kau Pelangi

Kau pelangi
menyerikan laman hatiku
di langit suram lepas hujan
biar sekejap cuma
aku reda memeluk takdir.

Hadirmu mengajarku menilai
mengenali warna-warna kelabu
mencarik fitrah insani
panjang mimpiku bersamamu
mencalar mencemari suci hati
meniti siratalmustaqim.

Kau pelangi
takkan bertahan diterik mentari
meninggalkan ranting-ranting berduri
mencakar menikam kuping hati
menangisi kesetiaan yang rebah
membelit mencemari cermin diri.

Aku di periuk takdir
reda memamah kerak nasi
biar berulam pucuk paku
tumbuhnya tidak goyah
biar di keras tajamnya kerikil.

Yajuk
Bj10082008

• SAJAK > 2008 > Kau Pelangi disumbangkan pada Khamis,
21 Ogos 2008 1:53:12 PM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 21 Ogos 2008
1:53:12 PM oleh yajuk

55.Siapakah Dulu Mempersembahkan Sumpah Derhaka

Tuah mati meninggalkan nama

kerana Tuah terpasak setia

buta butanya,membabi buta

setia setianya,kelubang najis tak mengapa

“Pantang Melayu Menderhaka”.



Jebat pula lebih dulu perginya

dibunuh setianya Tuah

Salahnya membela,setianya Tuah

Salahnya meningkah,titah raja yang salah

Salahnya membenci,pengadu domba

Salahnya membenci,petualang bangsa

di jiwanya terpasak neraca keadilan

“Raja adil raja disembah raja zalim raja disanggah”.



Telah mati Tuah dan Jebat

setianya Tuah,adilkah?

derhakakah Jebat,meningkah salahnya titah?.



Aku di petak keadilan

menjunjung kasih memohon ampun

tegallah bangsa kerana budayanya

makmurlah negara kerana bijaksananya

amanlah rakyat jelata kerana saksamanya.



Salahkah aku membawa sumpahnya Jebat

siapakah dulu mempersembahkan sumpah derhaka?

tidakkah pengadu domba berkomplot di belakang raja

mahu merebut kuasa.



Yajuk

bj21022009





SAJAK > 2009 > Siapakah Dulu Mempersembahkan
Sumpah Derhaka disumbangkan pada Ahad, 22 Februari 2009 9:12:39 AM •
Kali terakhir diubah pada Ahad, 22 Februari 2009 9:12:39 AM oleh yajuk

54.Timbunan Hari

Telah susut menipis

helaian daun-daun hari

mencairkah gelodak noda?

memutihkah bintik-bintik hitam?

diusap gerimis dan sendu

disalut sesal dan sesak dada

menapak kelamnya malam.



Sebuah kitab hayat

tersimpan di Lukh Mahfuz

mencerna tumbuhnya ruang fikir

subur biakkah iman?

mencambahkah leluhurnya pekerti?

meniti laluan licin berliku

teguh kuatkah keyakinan

merentas ombak dan gelombang.



Menipis sudah tebing usia

menanti pecah empangan hayat

begitu timbunan hari

terlipat satu-satu

menjadi hari semalam

tersimpan di peti mizaan

buahnya manis lazat

atau masam buruk berulat.



Telah berguguran daun-daun hayat

menjadi helaian kitab

ditulis Rakib dan Aatib

hitung hisablah

sebelum tamatnya tempoh hayat.



Yajuk
Bj24102008






SAJAK > 2008 > Timbunan Hari disumbangkan
pada Ahad, 26 Oktober 2008 10:06:13 PM • Kali terakhir diubah pada Ahad,
26 Oktober 2008 10:06:13 PM oleh yajuk

53.Terbangun Aku Melatah

Terbangunaku melatah

tercucuk telunjuk hantu

aku menari separuh mati

sebelum rebah telanjang di ranjang.



Terperap aku di kelodak noda

mengharap sinar menembusi

awan berarak kelabu.



Begitu aku

melatah di pentas takdir

mengharap tumbuhnya padi

di padang penuh lalang.



Yajuk

Bukit jering

22012009



SAJAK > 2009 > Terbangun Aku Melatah(Klip Video) disumbangkan
pada Isnin, 26 Januari 2009 10:56:11 AM • Kali terakhir diubah pada Isnin,
26 Januari 2009 10:56:11 AM oleh yajuk

52.Kau Masih Seorang Ashabiyyah

Kau masih seorang ashabiyyah

walau serban tanggal,tak pernah

walau berjela-jela,panjang jubah

kau terperangkap dalam penjara

merasa diri lebih taqwa

menipiskah keyakinan?

mencairkah iman?

meletakkan kekuatan pada bilangan

lupa mengharap pertolongan Allah

membawa siddik,amanah,tabligh dan fathaanah.



Kau memimpin Jamaah Islamiah

lebih ashabiyyah dari ashabiyyah

menolak hikmah berbilang bangsa dan keturunan

menolak permuapakatan kearah kebaikan

membawa kegelapan kepada cahaya

membawa kebathilan kepada kebenaran

walau semua kita bersaudara

asal kita Adam dan Hawa.



Dari seketul tanah kejadian kita

ada air,ada api;angin pun ada

adunlah biar sebati

api,jangan biarkan membakar diri

angin,jangan sampai memusnahkan akal dan budi

kembalilah kepada fitrah diri

membawa tugas khalifah Allah di bumi.



Kau masih seorang ashabiyyah

walau menjunjung Al Qur’an dan Sunnah

sedang hati masih berselaput karat

teraba-raba menumpang cahaya petir dan kilat

tak terbawa Islam sebagai Al-Din untuk seluruh ummat.



Yajuk
Bj08102008

SAJAK >2008
> Kau Masih Seorang Ashabiyyah disumbangkan pada Khamis, 9 Oktober
2008 8:46:49 AM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 9 Oktober
2008 8:46:49 AM oleh yajuk

51.Kain Sudah Terkoyak

Kain sudah terkoyak

semua sudah nampak.



Yang mengoyak galak menyalak

yang terkoyak nasinya berkelodak.



Menangislah bila kebunan dipenuhi lalang

jangan menangis bila diinjak kawanan binatang

seperti katak memanggil hujan

pasti ular datang menerkam.



Yajuk

Bj19022009



SAJAK > 2009 > Kain Sudah Terkoyak(Klip Video) disumbangkan
pada Selasa, 24 Februari 2009 8:58:41 PM • Kali terakhir diubah pada Selasa,
24 Februari 2009 8:58:41 PM oleh yajuk

Thursday, 8 March 2012

50.Aku Lena Di Dakapan Rinduku

Di penjuru malam
kelam bungkam di dakapan kasih-Nya
aku lena di dakapan rinduku
menyusuri siratalmustaqim
merentas jalan berliku
menggalas selaut resah
mendayung segulung gelombang
meniti titian hakikat
mahuku mendarat di pulau makrifat.

Telah terputus kalam bicara
menampung rindu dan sesak dada
mengungkap kata cinta
melakar wajah kekasih
terkunci di kamar hati
terperangkap di ruang gelap duniawi
sebuah pencarian cinta abadi
mengenal diri yang hakiki.

Suam hari dek hujan panas
menyatukan pelangi cintaku
di dada cahaya mentari senja.

Di langit cintaku
bulan bintang rindu menanti malam
samar berkelip cahayanya
mendamaikan pungguk di pundak cintanya
aku lena didakapan rinduku
larut di sebatian rahmat-Nya.

Yajuk
Bj12112008

SAJAK> 2008 >Aku Lena Di Dakapan Rinduku disumbangkan pada Ahad, 23 November 2008
6:53:35 PM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 23 November 2008 6:53:35 PM oleh yajuk

49.Seperti Janus,Berwajah Dua

Ada bebayang bergantungan
suramnya menggulung waktu
menjadi sebuku rapuh kenangan
tanpa rela memaksamu melangkah
mencari sinar mentari pagi.

Ada cahaya membelai daun kasih
ada bebayang membelit rindu
jangan biarkan riak meranapkan tebing
dengarkan suara hati
tinggalkan bebayang itu
yang sentiasa menghilang di gelap mentari.

Sentiasa ia berkejaran
hadirnya cuma menyentuh kaki
selama langit dipenuhi cahaya.

Seperti Janus*, berwajah dua
sentiasa kita memandang ke belakang
bebayang masa silam
tutuplah mata belakang itu
dengan kain kapan kenangan
tanda langkah baru kehidupan
bermula di situ.

Biar payah kaki melangkah
sudah waktunya teruskan langkah
jangan biarkan cahaya mentari
sia-sia merangkak senja.


Yajuk
Bj16122008

*Janus-Tuhan orang Rom purba berwajah dua;satu memandang ke
hadapan dan satu lagi memandang ke belakang(Mastika Jan 2009).

• SAJAK > 2008 > Seperti Janus Yang Berwajah Dua
disumbangkan pada Sabtu, 27 Disember 2008 5:12:44 PM • Kali terakhir diubah
pada Sabtu, 27 Disember 2008 5:12:44 PM oleh yajuk

48.Gantungkan Potret Hitam Kelabu

Gantungkan potret hitam kelabu
di dinding waktu
biar berlalu menjadi hiasan
di dada hayat
berselirat jalinan warnanya
adalah titik kordinat iradat
menuntut istiqamah
memutihkan diri.

Cerminlah diri
tunjukkan di mana cacatnya diri
kenapa keras hati
setiasa merobek mencarik canvas hati
pecah reyoklah potret diri
dicincang tangan sendiri.

Telah berserakan berus waktu
mencorak mewarnai potret diri
telah cair lilin hayat
memateri bingkai lukisan
tak mungkin digubah kembali.

Masih berbaki canvas diri
masih berbaki lilin hayat
jalinlah warna-warna pelangi
menyelimuti potret hitam kelabu itu
menjadi paksi kebangkitan
meniti siratalmustaqim.

Yajuk
Bj19122008


• SAJAK > 2008 > Gantungkan Potret Hitam Kelabu
disumbangkan pada Selasa, 30 Disember 2008 9:48:41 AM • Kali terakhir diubah pada
Selasa, 30 Disember 2008 9:48:41 AM oleh yajuk

47.Akhirnya Tanggang Menjadi Raja

Akhirnya Tanggang menjadi raja
tunggang langgang jadinya Lebai Malang
membilang waktu mahu bersara
tiada jasa boleh di kira
tiada khidmat boleh dibangga
tak tercari Al ghazali atau Al shafei
selain nyanyian Islam Hadhari.


Si Tanggang bersorak gegak gempita
kunci harta ternganga depan mata
tak siapa mampu menggugat tahta
harimau singa kan merajalela
mencengkam membaham anjing dan serigala.


Tanggang bertingkah gendang pahlawan
membujur lalu melintang patah
aib berlarian ngaib di tapak kaki
badang-badang mengembang sayap
mencuci menyapu sepatu berdebu
masa depannya cerah bersinar di dahi.

Ayam sabung patah tajinya
menongkah arus patah layarnya.


Terlopong terlolong hamba sahaya
melihat Tanggang menaiki tahta
sikit percaya,banyaklah sangsi
entahkan pisang,berbuah dua kali
harapkan pagar,pagar makan padi
menanglah sorak,kampong tergadai
ayam di kepuk,mati kelaparan
itek di air,mati kehausan.


Yajuk
Bj24122008



• SAJAK > 2009 > Akhirnya Tanggang Menjadi Raja
disumbangkan pada Jumaat, 2 Januari 2009 11:21:12 AM • Kali terakhir diubah
pada Jumaat, 2 Januari 2009 11:21:12 AM oleh yajuk

Saturday, 3 March 2012

46.Antara Patung Dan Berhala II

Kita masih sepertidulu
tercari-cari khusuk dalam sembahyang
‘ku hadapkan wajahku ke wajah-Nya’
sekadar ungkapan pemanis bibir
seperti asyiknya penyair malam
diulit lagu dan gurindam jiwa
terpesona dalam merdu irama nyanyian pujangga
sedang hati tanpa mengerti
merantau ke seluruh pelusuk dunia
mengarang kitab puisi suka dukanya sendiri.

Tidak kelihatan adanya patung
tak terlintas walau sezarrah mahu menyekutukan-Nya
tapi hati yang lara lupa pada-Nya
membawa beribu berhala berseloka di jiwa
kita menangis dan ketawa bersamanya
tak sadar lagi kita sedang menghadap-Nya.

Sekadar mengharap
hakikat diri tertutup rapat-rapat
biar kita tahu buah penuh ulat
mahal harga yang kita harapkan
Jannaatunnaim yang kita tuntut dari Tuhan
walau neraka wail yang dijanjikan
mana mungkin hutan rimba menjadi ladang
tanpa perlu menebas dan menebang.

Seusai salam kiri dan kanan
nafas tercungap mengejar waktu
tiada lagi masa untuk berzikir dan bertahmid
jauh sekali merasa bangga menjadi tetamu-Nya
tak terucap walau sepatah kata
biar yang terbaik antara yang terbaik
kerana Allah di hati kita
wujud sekadar perkataan tanpa hakikat.

Antara patung dan berhala
patung sudah tiada
tidakkah berhala bermaharajalela
menguasai akal dan perasaan
masihkah ada khusuk dalam sembahyang?
seperti kata Nabil ‘Kamu fikirlah sendiri’.

Yajuk
Bj02102008

• SAJAK > 2008 > Antara Patung Dan Berhala II
disumbangkan pada Jumaat, 3 Oktober 2008 9:01:36 PM • Kali terakhir diubah pada
Jumaat, 3 Oktober 2008 9:01:36 PM oleh yajuk

45.Biarkan Aku Terpenjara

Biarkan aku terpenjara
di hatimu akulah tawanan
rela aku dikurung sepi
menyanyikan lagu pilu sang pungguk
mengharapkan kita bersatu
menganyam mimpi menyemai rindu.

Akan sentiasa kuketuk pintu itu
semuga dengan rela kau buka hatimu
membiar aku lena memeluk rindu
dakwalah aku
hukumlah aku
memang aku mengharap
kau memenjarakan aku di hatimu
jangan kau biarkan terlepas lagi
sepanjang hayatku adalah milikmu.

Telah berulangkali
ku hulurkan tanganku
minta kau gari
akulah yang bersalah
mahu kucuri hatimu
menjadi milikku.

Andai telah kau pasti
hatimu telah kucuri
jangan kau ragu-ragu
jatuhilah aku hukuman
dan aku dengan rela
bersedia untuk kau penjarakan
seumur hidupku di hatimu.

Yajuk
Bj07072008



• SAJAK > 2008 > Biarkan Aku Terpenjara disumbangkan
pada Isnin, 4 Ogos 2008 2:49:31 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 4 Ogos
2008 2:49:31 PM oleh yajuk

44.Aku Ingin Berbaik Sangka

Aku ingin berbaik sangka
seperti kerbau di cucuk hidungnya
mahu aku ikut saja kemana kau tarik talinya
tak mengapa jika kau pasang igunya
biar ku bajak seluruh sawah bendang
asal hidup tuan senang lenang.

Tapi aku bukan kerbau
yang boleh di tabur garam
pada rumput kering layu
untuk mengubah rasa dan selera
membuat aku suka
pada kata-kata berbunga dusta
dan hasil kerja meniris nista.

Telah ku cuba memujuk hatiku
untuk tidak merasa apa-apa
biar pahit atau pun masam
menganggap baik apa saja
memamah dan menelan
sajian yang kau hidangkan
tapi mampukah aku
menipu diriku selalu
kerna yang pahit bukan ubat
tapi hempedu yang pecah
dan yang masam adalah asam
penyebab perut di serang gastric.

Aku ingin berbaik sangka
tak mahu aku menanam dan membajai
benih-benih curiga dan syak wasangka
kerna kau dan aku perlu menjadi satu
menjaga dan membajai padi yang di tanam
biar lebat buahnya merunduk berisi
dan ingatlah selalu
kerbau di pegang talinya
manusia di pegang janjinya.



Yajuk
Bukit Jering
27052008




SAJAK > SAYEMBARA SAJAK KERBAU > Aku Ingin
Berbaik Sangka disumbangkan pada Jumaat, 30 Mei 2008 10:08:27 PM •
Kali terakhir diubah pada Jumaat, 30 Mei 2008 10:08:27 PM oleh yajuk

Thursday, 1 March 2012

43.Melepas Anjing Tersepit

Pesan orang-orang tua
jangan kau coba-coba
melepaskan anjing tersepit
atau mengubat anjing gila
kelak kau yang tergigit
atau kau yang dijangkiti penyakit gila.

Biarkan meraung melolong
dasarnya anjing menyalak sentiasa
jangan tertipu linangan air dari matanya
atau air liur yang berbuih dari mulutnya
jernihnya ada racun berbisa
sekali tertelan;ada penawarnya
jangan tertelan kedua kalinya
lukanya parah;tak akan ada ubatnya.

Kau yang bergelar khalifah
ada sunnah yang kau bawa
ingatlah perang Uhud yang memalukan
jangan terantuk lagi baru mahu tengadah
setia,setialah pada janji
ada fitrah diri yang kau khianati
ada marwah diri yang kau jual beli
ada hati saudara yang kau lukai
kenapa tega-tega kau timbulkan riak ombak
pada laut yang tenang
tanyakan pada diri
setia siapa yang kau ragui
dusta siapa yang kau percayai
membuat kau jadi keliru
mahu membaiki bahtera yang hampir tenggelam.

Tak salah kau melangkah
tak juga betul kau bertingkah
kau terjerat di persimpangan
ada anak panah terhala ke dada tuan.

Yajuk
bj23072008

• SAJAK > 2008 > Melepas Anjing Tersepit disumbangkan
pada Ahad, 27 Julai 2008 9:17:27 PM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 27 Julai
2008 9:17:27 PM oleh yajuk

42.Kau Bermain Silap Mata

Kau bermain silap mata
terpaksalah kami menjawab sendiri
silang kata dan teka teki
yang kau biarkan membiak subur
menjadi gumpalan awan hitam
menaungi langit kehidupan kami.

Bila matamu kau tutup rapat-rapat
telingamu kau sumbat
dan mulutmu kau jahit
tak perlu risau dan gusar
ada juru pandu memimpin tanganmu
dan kau biasa-biasa saja
lena di tilam empuk
jangan kau buka penutup itu
bila-bila pun juga
ada ular berbisa
akan mematukmu
dari segenap penjuru
tutuplah rapat-rapat
kau akan selamat.

Antara dua akuan bersumpah
tertutupkah bangkai gajah
dan perlu apa akuan kedua itu
jika yang pertama tidak benar
kenapa perlu bermain silap mata
sekejap ada sekejap tiada
kata Nabil”kamu fikirlah sendiri”.

Bala..bala..Bala
betul-betul kau pakar silap mata
hingga tak siapa nampak kau lagi
melainkan mereka yang sama pakar macam kau.

Yajuk
bj10072008

• SAJAK > 2008 > Kau Bermain Silap Mata disumbangkan
pada Khamis, 24 Julai 2008 2:43:41 PM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 24
Julai 2008 2:43:41 PM oleh yajuk

41.KuLihat Senyuman

Kulihat senyuman
biar merah bergincu bibirmu
aku tak nampak
hatimu bahagia.

Kulihat jelingan matamu
biar beralas maskara
aku nampak titis-titis hujan
membasahi gersang hatimu.

Tak sanggup aku
melihat senyummu lagi
yang kunampak hanya kedutan
jiwamu yang kusut
kau hanyut dan layu
dalam buas nafsumu.

Aku dalam janjiku
terseksa dalam harapan
doa bahagia hidupmu.

Yajuk
Bj18062008

• SAJAK > 2008 > Ku Lihat Senyuman disumbangkan pada
Selasa, 1 Julai 2008 9:46:04 PM • Kali terakhir diubah pada Selasa, 1 Julai
2008 9:46:04 PM oleh yajuk

40.Aku Ingin Jadi Sabar

Aku ingin jadi sabar
setenang air di kali
walau dicampak batu,kayu dan sampah
tak mahu resah dan marah-marah
tetap mengalir damai
menyusuri tebing dan benteng
membasahi lurah dan lembah
menunggu teratai berkembang
menghias pintu gua damai.

Aku tahu siapa aku
cuma insan kerdil yang tak punya apa-apa
selain akal fikir yang mahu bebas merdeka
mengomel dan membariskan kata-kata
menghisab dan menghitung bicara
yang sering kau terlupa
atau mahu mu melupakan
segala sumpah dan janji setia
nyata kau jadi penglipurlara
dan sumpah mu jadi sumpah dusta
sedang aku setia menanti
kau kotakan janji.

Maafkan aku
aku tak mahu marah-marah
juga tak mahu mengomel selalu
aku mahu jadi sabar
sejuk beku sesejuk salju di puncak gunung
tapi aku sudah letih
penat menjadi penonton sandiwara
kau yang lara di puncak kuasa
sering menitiskan percikan api nista
yang menimbul riak gelombang di air tenang
dan aku hangus terbakar bermandi darah
dipanah kilat petir sabung menyabung
menggalas dan menjunjung biawak hidup.

Aku ingin jadi sabar
melihat saja harimau singa menggilap taring
mencakar kuku meratah mangsa
tapi aku tak mampu lagi
untuk jadi bisu dan menggeleng kepala
kerana yang menjadi mangsa
terluka dan tercalar itu
adalah aku dan semua kita para marhain.

Yajuk
Bukit Jering
2605200

SAJAK > 2008 > Aku Ingin Jadi Sabar disumbangkan pada
Rabu, 28 Mei 2008 10:41:52 AM • Kali terakhir diubah pada Rabu, 28 Mei 2008
10:41:52 AM oleh yajuk