Saturday, 14 April 2012

100.Burung besi adalah saksi

Burung besi yang membelah awan putih dan biru langit
adalah saksi dunia ini rupanya bukan satu malah
ribuan dan jutaan sedang hidup dalam
pelbagai rencam manusia yang pula
sibuk bersilat di gelanggang masing-masing

Tenggelam
jeda
di perut burung besi
adalah masa tafakkur
paling afdal
kerana manusia tidak lagi mengawal dunia
(hakikatnya mereka tidak mengawal apa-apa)
mutlak milik Tuhan

Dan tika burung besi menggelepar hinggap
mencecah bumi bertempiaranlah manusia
kini bukan lagi milik Tuhan, berkejaran
dan bersilat dalam gelanggang hidup
dunia masing-masing

Sungguh burung besi yang membelah
putih awan dan langit biru adalah saksi dunia
rupanya bukan satu.

- mudin001 -
Perut burung besi, KUL – KK.
24 Jan 11

99.lima hari selepas satu satu satu satu

Lima hari selepas satu satu satu satu
setelah kelelahan memerah keringat
buat mendapatkan sedikit talian hayat,
mari kita berbicara dengan anak-anak yang
baru mengenal campur tolak.

Mari anak-anak kita congak
cara hidup yang mana satukah yang perlu kita ubah
nasi putih ikan kering santapan harian itu
mahu dikurangkan di mana? nasinya, putihnya, ikannya
atau keringnya?
baju
usuh sepatu koyak itu
tak berganti lagikah menjelang
satu satu satu dua?

mari anak-anak kita belajar eja baca
kata-kata pemimpin kita
bahawa hidup yang semakin mahal ini
tidaklah semahal jiran-jiran kita
yang tidak cukup bertuah untuk hidup
di negara bertuah mengutamakan rakyat ini, anak-anak.

Anak-anak, pada hari lima selepas
satu satu satu satu
ketika mimpi seram telahpun menjadi realiti ngeri
mari kita menguatkan azam dan tekad,
ubah cara hidup!
(ha ha ha!)

- mudin001 -
Petaling Jaya.
05.01.11

98.sajak klise satu satu satu satu

Sajak tahun baru ini adalah untuk tuan2
yang tidak sempat memasang nawaitu
di pagi satu satu satu satu
untuk segala macam harapan baru

Pagi satu satu satu satu
adalah pagi-pagi yang biasa
dengan baju lusuh dan sepatu koyak
ada sawah musnah oleh bah menanti
kudrat tua untuk berjasa
ada pohon-pohon getah tua menunggu
keringat tumpah bersama susu
ada anak-anak mahu mengenal campur tolak
motorsikal (juga tua) yang perlu diisi minyak
lapar,dahaga, sejuk dan panas
tidak mengenal tahun baru
satu satu satu satu

Harapan apakah yang dijanjikan oleh
satu satu satu satu kepada tuan2?
oh,sungguh aku mengharap
ia bukan sekadar hidup yang semakin mahal
dan beban yang semakin tak kurang.

- mudin001 -
Puncak Jalil.
02.01.11

97.Bah

Melimpah
air bah
adalah musibah
juga rezki siasah

Cedoklah
hiruplah
teguklah
segala
kotor
dan hanyir

Moga surut
haus kuasa.

- mudin001 -
Petaling Jaya
8 November 2010

96.sajak buat tuan yang menggegar bintang

Tuan yang berjiwa rakyat
tidak hilang muliamu
bila kamu memuliakan
kerana yang dimuliakan
juga manusia sepertimu
Ttidak jatuh maruahmu
tidak pula papa kedana
bila tunduk memberi
modal memberi hormat
tidak perlukan wang berbillion
hanya seulas senyum secubit ikhlas
dan secupak rendah diri

Tidak tercemar pula tuan
mengharung selut dan debu
di laman rakyat

Dia yang menempah kehormatan
dengan tiket kepalsuan
dan menginjak-injak kerusi rakyat
melompat angkuh
sebagai tuan perkasa
(kononnya) juara bangsa
(sebenarnya) gila kuasa
(dan) galak laba

Nah tuan, sungguh kau mengukir
senyum bahagia buat jelata
dengan sentapan halus tapi gagah
menggegar bintang
Terima kasih tuan
terpelanting dia
kembalikan dan biarkannya
di tempurung kebebalan.

- mudin001 -
Puncak Jalil
13.10.10

95.Sisa Ramadhan

Kalau Ramadhan itu orang
Melayu akan berkata kuburnya
masih merah

Kalau Syawal itu orang
Melayu akan berkata tali pusatnya
belum luruh

Tinggal setangkai tamar
tidak lagi disentuh
tidak lagi berkat
hanya sebagai ingatan
Ramadhan baru berlalu.

- mudin001 -
Petaling Jaya
14 Sept 2010

94.ayuh, kemanusiaan!

Kemanusiaan tak pernah tewas
walau Mavi Marmara tinggal bangkai
walau Rachel Corrie dilenyek bak bangkai

Gazajaya – dikepung syaitan
kemanusiaan tetap hidup
merdeka

Kemanusiaan akan mati
bila manusia tiada agama
dan pemerintah hilang punca

Putrajaya – dikuasai rakan syaitan
kemanusiaan hampir mati
lemas

Ayuh ke Putrajaya
kita mulakan bantuan
kemanusiaan di sana.

- mudin001 -
6 Jun 2010
Seberang Jaya.