Aku ingin jadi sabar
setenang air di kali
walau dicampak batu,kayu dan sampah
tak mahu resah dan marah-marah
tetap mengalir damai
menyusuri tebing dan benteng
membasahi lurah dan lembah
menunggu teratai berkembang
menghias pintu gua damai.
Aku tahu siapa aku
cuma insan kerdil yang tak punya apa-apa
selain akal fikir yang mahu bebas merdeka
mengomel dan membariskan kata-kata
menghisab dan menghitung bicara
yang sering kau terlupa
atau mahu mu melupakan
segala sumpah dan janji setia
nyata kau jadi penglipurlara
dan sumpah mu jadi sumpah dusta
sedang aku setia menanti
kau kotakan janji.
Maafkan aku
aku tak mahu marah-marah
juga tak mahu mengomel selalu
aku mahu jadi sabar
sejuk beku sesejuk salju di puncak gunung
tapi aku sudah letih
penat menjadi penonton sandiwara
kau yang lara di puncak kuasa
sering menitiskan percikan api nista
yang menimbul riak gelombang di air tenang
dan aku hangus terbakar bermandi darah
dipanah kilat petir sabung menyabung
menggalas dan menjunjung biawak hidup.
Aku ingin jadi sabar
melihat saja harimau singa menggilap taring
mencakar kuku meratah mangsa
tapi aku tak mampu lagi
untuk jadi bisu dan menggeleng kepala
kerana yang menjadi mangsa
terluka dan tercalar itu
adalah aku dan semua kita para marhain.
Yajuk
Bukit Jering
2605200
SAJAK > 2008 > Aku Ingin Jadi Sabar disumbangkan pada
Rabu, 28 Mei 2008 10:41:52 AM • Kali terakhir diubah pada Rabu, 28 Mei 2008
10:41:52 AM oleh yajuk
No comments:
Post a Comment