Pesan orang-orang tua
jangan kau coba-coba
melepaskan anjing tersepit
atau mengubat anjing gila
kelak kau yang tergigit
atau kau yang dijangkiti penyakit gila.
Biarkan meraung melolong
dasarnya anjing menyalak sentiasa
jangan tertipu linangan air dari matanya
atau air liur yang berbuih dari mulutnya
jernihnya ada racun berbisa
sekali tertelan;ada penawarnya
jangan tertelan kedua kalinya
lukanya parah;tak akan ada ubatnya.
Kau yang bergelar khalifah
ada sunnah yang kau bawa
ingatlah perang Uhud yang memalukan
jangan terantuk lagi baru mahu tengadah
setia,setialah pada janji
ada fitrah diri yang kau khianati
ada marwah diri yang kau jual beli
ada hati saudara yang kau lukai
kenapa tega-tega kau timbulkan riak ombak
pada laut yang tenang
tanyakan pada diri
setia siapa yang kau ragui
dusta siapa yang kau percayai
membuat kau jadi keliru
mahu membaiki bahtera yang hampir tenggelam.
Tak salah kau melangkah
tak juga betul kau bertingkah
kau terjerat di persimpangan
ada anak panah terhala ke dada tuan.
Yajuk
bj23072008
• SAJAK > 2008 > Melepas Anjing Tersepit disumbangkan
pada Ahad, 27 Julai 2008 9:17:27 PM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 27 Julai
2008 9:17:27 PM oleh yajuk
No comments:
Post a Comment