Ketam itu masih galak
mengajar anaknya berjalan betul
biar dia bergelumang tahi
dan jalannya tetap sama macam dulu
agaknya benar-benarlah dia
dari keturunan Melayu mudah lupa.
Telah dirobek ketuanan
dan dicaturnya undang-undang
menjadi jerangkap samar
lalu hatinya gundah gulana
dikejar bayang-bayang sendiri
sungguh malang nasibnya
tahtanya diwarisi orang yang salah
lemah dan tak tahu memerintah
tunduk patuh pada si pemeras ugut;katanya
anaknya jadi kaduk naik junjung
lupa diri lupa daratan
telah jadi kacang lupakan kulit
kemana dia mahu berlindung diri
harapkan pagar;pagar makan padi.
Anaknya terasuh dengan sains dan matematik
mencongak segala untung dan rugi
mana ada ruang untuk berbudi dan berbahasa
asasnya ketam mesti jalannya merusuk
peduli apa pada bicara orang tua-tua
sedikit ingat;tapi banyak lupanya
kalau tak masakan berpatah arang berkerat rotan
anak sendiri dianggapnya musuh
dan langsung tak ingat apa-apa
dialah punca segalanya.
Ketam itu masih galak
mengajar anaknya berjalan betul
pada hal dialah yang memakaikan mahkota
di kepala orang yang tak betul
agaknya benar-benarlah dia sudak nyanyok.
Yajuk
Bukit Jering
20052008
• SAJAK > 2008 > Ketam Itu Masih Galak disumbangkan
pada Khamis, 22 Mei 2008 11:39:24 AM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 22 Mei
2008 11:39:24 AM oleh yajuk
No comments:
Post a Comment