Monday, 9 April 2012

65.Biar Lelucun Itu Menjadi Milik Kami

Jika sidang di bawah pokok itu satu lelucun
biarlah ia menjadi milik kami
yang telah lama bersidang di sini
menanti kemunculan Laksamana Doremi
membunuh kedurjanaan Pasola Menteri.

Jika sidang di bawah pokok itu satu lelucun
biarlah ia menjadi milik kami
yang telah lama bergayut di dahan rapuh
mencari redup bayang
mahu menumpang berteduh
disalai hangat mentari.

Jika sidang di bawah pokok itu satu lelucun
biarlah ia menjadi milik kami
yang penat memerhati
ada kura-kura di belakang istana
menyembunyi kepala di balik kuasa raja.

Jika sidang di bawah pokok itu satu lelucun
biarlah ia menjadi milik kami
kerana ia jauh lebih bermarwah
dari menjadi seekor katak
melompat dari kolam ke kolam
berkurung senyap di bawah tempurung.

Jika sidang di bawah pokok itu satu lelucun
biarlah ia menjadi milik kami
yang menjadikan mereka YB
andai kamu masih bermarwah
segera kembalikan hak kami
kami tak mahu YB kami katak dan kura-kura.

Yajuk
Bj04032009

• SAJAK > 2009 > Biar Lelucun Itu Menjadi Milik Kami
disumbangkan pada Rabu, 4 Mac 2009 9:58:35 AM • Kali terakhir diubah pada Rabu,
4 Mac 2009 9:58:35 AM oleh yajuk

No comments:

Post a Comment