Palestin terluka
disambar larva kebencian
termuntah dari kawah zulmat Zionis
membarah melebur rapuh harapan
dahan iman berguguran
terentap lena berpanjangan.
Palestin terluka
terperam di lembah berdarah
hanyut di alur hanyir nanah
terus disiat singa dan serigala
terbeliak hiba matanya
memandang kosong ke langit tinggi
mengharap pertolongan
dan kita saudaranya
dengan darah membuak di dada
terpaksa menoleh sebelah mata
melorek simpati
sebelum longlai dimamah syurga duniawi.
Palestin terluka
diterjah kereta kebal dan roket
adalah sebaris berita
memenuhi ruang retorik dada media
mengepulkan asap imarah
memenuhi ruang bicara
kelak resah dada yang terbakar
disuapkan gula-gula
biar senyap mati di sendat curiga
sesama kita.
Palestin yang terluka
lumat di ratah Zionis
adalah manifestasi
kita yang kekehilangan jati diri
Yajuk
Bj18012009
• SAJAK > 2009 > Palestin Terluka (Video klip)
disumbangkan pada Khamis, 22 Januari 2009 2:32:35 PM • Kali terakhir diubah
pada Khamis, 22 Januari 2009 2:32:35 PM oleh yajuk
No comments:
Post a Comment