Friday, 24 February 2012

14.Telah Kuning Kemerahan;Daun Itu

Telah kuning kemerahan;daun itu
biar masih ligat menari
meliut lintup
dibuai tiupan angin
kekadang rindu
menanti ribut datang
dalam letih longlai
mahu ia terbang melayang
biar akhirnya terkapar di bumi.

Belum gugur ia
masih mahu berpaut di dahan
tak mahu jatuh mereput di bumi
masih mengharap sinar mentari
menukar warna kuningnya
menjadi keemasan
malang;daun tidak ada pilihan
tangkai tak mampu bertahan
terlepas;daun gugur menyembah bumi.

Telah kuning kemerahan;daun itu
hatinya pilu
terluka dan merana
tertusuk sembilu
dihantui cemburu
daun muda bercambah di dahan
merubah kasih rindu pepohon
hadirnya tidak lagi menambah seri
biarlah ia gugur dan berkubur
menjadi tanah penguat akar
pokok subur merimbun
menjulang langit tinggi.

Yajuk
Bukit Jering
6hb.feb.2008






• SAJAK > 2008 > Telah Kuning Kemerahan;Daun Itu
disumbangkan pada Ahad, 10 Februari 2008 4:08:22 PM • Kali terakhir diubah pada
Ahad, 10 Februari 2008 4:08:22 PM oleh yajuk

No comments:

Post a Comment