Telah kering dan layu
dibakar mentari
telah kusam dan masam
terendam kumbahan
tidak lagi menambah seri
meski di laman sendiri.
Hendakku bertongkat
pada anak dan menantu
tapi langit telah retak seribu
dan bumi berkerapah dengan duri
ada api dalam sekam
api tak kelihatan
asap berkepul merata-rata.
Masih ku ingin menjaring mimpi
masih ku ingin menjaja janji
biar mereka menangguk di air keruh
biar mereka menjadi musang berbulu ayam
biar mereka menyokong membawa rebah
biar mereka menjadi pagar pagar makan padi
aku pantang dicabar
biar menang menjadi arang
alah menjadi abu
aku tak mungkin menyerah kalah.
Ada tangan-tangan kotor melempar batu
telah keruhlah air di muara
kerana tangan yang mencincang tak mahu memikul
terpalitlah aku dengan getah nangka.
Telah tersilap aku menghitung
telah tersasar segala impian
tak tercari Al ghazali dan Al shafei
jadilah aku lebai malang
mewarisi segala kebobrokan
mewarisi segala kemusnahan
ada jerangkap samar merata-rata
telah menjadi momokan segala impian
mahu menjadi insan cemerlang gemilang dan terbilang.
Yajuk
Bukit Jering
23hb.april.2008
• SAJAK > 2008 > Memori Senja disumbangkan pada
Khamis, 24 April 2008 9:16:33 AM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 24 April
2008 9:16:33 AM oleh yajuk
• SAJAK > 2008
> Memori Senja disumbangkan pada Khamis, 24 April 2008 9:16:33 AM • Kali
terakhir diubah pada Khamis, 24 April 2008 7:41:25 PM oleh drirwan
No comments:
Post a Comment