Saturday, 25 February 2012

28.Antara Patung Dan Berhala

Telah dipecahkan segala patung
bersihkah syirik dari hati
tiada patung menghalang kiblat
tidakkah berhala berbuak bicara
mengungkap kata dan bergentayangan
menganyam mimpi.

Sedang qiam ada senyuman menggamit perasaan
sedang roko’ ada lembu kepanasan di bendang
sedang sujud ada sup ekor terhidang di dapur
sedang tahiyyat ada akademi fantasia di tv
apa lagi yang tinggal dalam shalat?.

Antara patung dan berhala
patung telah hancur menjadi debu
tidakkah kita mencipta berhala
dan membajai syirik
bersama mimpi dan ilusi
yang menguasai hati tanpa kita sedari.

Yajuk
Bukit jering
29042008

• SAJAK > 2008 > Antara Patung Dan Berhala
disumbangkan pada Jumaat, 2 Mei 2008 9:54:46 PM • Kali terakhir diubah pada
Jumaat, 2 Mei 2008 9:54:46 PM oleh yajuk

No comments:

Post a Comment