Friday, 24 February 2012

16.Jika Aku Adalah Dia;Suamimu




Jika aku adalah dia;suamimu
mahu aku melihat bulan purnama
mengambang penuh di laman rumah
sejuk nyaman cahayamu
menerangai ruang-ruang gelap hatiku
paling tidaknya kaulah pengukir acuan
melakar kuntuman bunga-bunga
pada canvas putih kelahiran
putera puteri rumah ini.

Telah pecahlah peti kasih
kerna rindumu telah tumpah
dan kerap pula ku temukan
kebetulan-kebetulan yang melukakan
ada sembilu yang merobekkan
ada duri yang menikam tajam
yang putih telah menjadi hitam
doapun bertukar menjadi sumpahan
kerna dalam menyelam
sering kau minum air kecurangan
aku pun jadi keliru
itukah sebenarnya;Warna-warna hatimu.


Jika aku adalah dia;suamimu
akan ku robohkan empangan kasih
biarkan air
rindumu mengalir bebas
menjadi ombak
ganas laut lepas
taklah hati meremuk lemas
bagai kaca terhempas kebatu
atau kering layu di pepohon mati
gugur menjadi sampah terbuang.



Yajuk
Bukit Jering
16hb.mac.2008

• SAJAK > 2008 > Jika Aku Adalah Dia;Suamimu
disumbangkan pada Rabu, 19 Mac 2008 6:55:45 PM • Kali terakhir diubah pada
Rabu, 19 Mac 2008 6:55:45 PM oleh yajuk

No comments:

Post a Comment