Telah bertakung rindu
di empangan kasih
yang dulu tersemai
dari titis-titis hujan
sering tertusuk sembilu
di pintu gua pilu
sebuah pencarian
arti cinta dan kehidupan.
Telah terukir arca cinta
menjadi mahligai syahdu
meski guruh kerap berlabuh
dan banjir merusuh
merobek dinding reda
sedang syukur berarak resah
dalam pahit hempedu yang pecah.
Tersimpul mimpi di sinar mentari
terpahat azam bersuluh iman
tiada ruang terisi luka lara
sentiasa meredah samudera bergelora
tanpa mendesah bertongkat tawakkal
terbinalah cinta di tujuh benua
telah membiak pepohon rindu
bersama hayat putera puteri
hanya doa dan restu-Mu
dalam pasrah dan reda
menyulam impian
mengapai bintang-bintang.
Kaulah isteri
bidadariku
ratu hati putera puteri
kau dan aku menjadi satu
ribut taufan pun malu tersipu
tak terusik kasihmu kasihku
dirgahayu cinta ini
meneguk haruman kasturi
bersama melayari bahtera ini
menghadapmu Ilahi.
Yajuk
Bukit Jering
21hb.feb.2008
• SAJAK > 2008 > Kaulah Isteri disumbangkan pada
Isnin, 17 Mac 2008 5:44:23 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 17 Mac 2008
5:44:23 PM oleh yajuk
No comments:
Post a Comment