Friday, 24 February 2012

20.Sayangku;Damaikan Hatimu

Sesekali sayangku
hentikan memandang langit tinggi
nantinya terlalu banyak bintang melambai
sedang kita hanya ada sekeping hati
tak tertakluk bintang beribu.

Sesekali sayangku
pandanglah rerumput di bumi
hijau segarnya tak pernah dihargai
dipijak-pijak atau disembur racun rumpai
lebih-lebih pun disabit-sabit
dipungut menjadi habuan haiwan.

Sesekali sayangku
tinggalkan kerdipan neon kota raya
nantinya terlalu banyak
bayang-bayang berkejaran
juga ada angin yang menyesakkan dada
nafas pun tercungap lemas
tertiarap dalam harapan tanpa kiblat
hari-hari terpaksa mengejar dan dikejar.

Sesekali sayangku
kembalilah ke desa permai
rasakan sejuk nyaman udaranya
dan air sungai yang mengalir dingin
biarkan membasahi lembah hati
yang telah gersang dan mati.

Sesekali sayangku
kembalilah kedalam diri
ada masa sedang melipat waktu
masa lalu
dan nafas hayat yang bergerak pantas
adalah maut yang semakin dekat
ada kitab yang tertulis lengkap
semak hitunglah;sebelum dipersembahkan.

Sesekali sayangku
kembalilah kepada fitrah diri
nyahkan segala bisikan syaitan dan iblis
ada baitullah di dasar suci seketul hati
ada mata yang sentiasa memerhati
ada bibir yang sentiasa mengucapkan zikir
ikutlah beristighfar zikir dan tahmid.


Sayangku;damaikan hatimu
rendangkan pepohon iman dan taqwa
istiqamahlah dalam syukur dan redha.

Yajuk
Bukit Jering
26hb.mac.2008

• SAJAK > 2008 > Sayangku;Damaikan Hatimu disumbangkan
pada Khamis, 10 April 2008 11:43:00 AM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 10
April 2008 4:57:22 PM oleh drirwan

No comments:

Post a Comment