Di langit petang ini
mentari condong menebar sinar sepi memanjang
menangisi langit kelam membungkam pada petir
yang sering membakar pohon-pohon hijau
di lembah kerdil tanpa daun-daun nikmat
menaungi panas tajam kerikil
yang membelah retak hati
tanpa ada rasa simpati yang pasti
merentasi lurah-lurah dalam melaut resah
melewati destinasi yang ternyata
cuma pintalan-pintalan patamorgana.
Telah terluruh daun-daun iman
yang bergayutan pada dahan-dahan rapuh
mereput dan memburuk dihisap dedalu merimbun
berserakan bertaburanlah menjadi debunga cinta
bersalut intan berlian
bertatah emas permata menggamit cinta ulama
berhalusinasi mencair lebur segala kebanggaan
membawa siddik amanah tabligh dan pathanah
menjadi timbunan kitab-kitab buruk
berjualan di pasar lelong dan rentung
dalam kepulan asap hitam kemungkaran
membawa terbang cebisan-cebisan kemuliaan
sebagai Ulama warisatul anbia.
Hari-hari tertampal dan menampal kemuliaan
menjadi pendidik anak bangsa dan ummah
dengan kemuliaan keturunan Adam dan Hawa
membawa fitrah keagongan dan kebesaran Muhammad
tapi entah menjadi entahkan tidak
padi yang ditanam telah menjadi lalang
terbang berbondong berduyun-duyun
terperosok kedalam penjara dan pusat serenti
bagai rumput di tepi jalan;hidup segan mati tak mahu.
Kebanggaan apa yang berbaki pada gelar seorang manusia
menjadi khalifah di bumi Allah bila kebenaran diinjak-injak
dan kebathilan dijunjung menjadi mahkota kebesaran
memayungi kezaliman dan kebejatan diri
langsung tak peduli jika sumpah pada tuhan diingkari
meski tanpa ragu kita patrikan janji dan teguhkan tekad
mengucapkan “bahkan aku naik saksi kaulah Tuhanku”.
Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung
taklah sebesar makna pengabdian diri pada Tuhan
sehingga kita melupakan hakikat diri kita juga khalifah yang
bebas merdeka dalam pengabdian abadi
jangan jadi jauhari yang tak mengenal ma’nikam
lupa diri lupa Tuhan kerana seketul tulang
menuntut dunia semata menjadikan kita seekor anjing
hina dan menjijikkan dalam kesetiaan membabi buta.
Kita mengindahkan khabar dari rupa
pabila kita inginkan sesuatu yang bukan milik kita
lalu kita campurkan pula racun ke dalam makanan bersih halal
untuk dihidangkan kepada anak bangsa
jadinya marahkan nyamuk kelambu dibakar
tak berbunga syukur dan redha
dalam mimpi dan ilusi yang tak pernah padam
membungkam dengan amarah dan dendam
seolah-olah tiada takdir dan kuasa tuhan.
Di langit petang ini
aku terus mengharap selepas malam kelam
akan ada mentari terbit lagi di pagi hari.
Yajuk
Bukit Jering
07052008
• SAJAK > 2008 > Di Langit Petang disumbangkan pada
Sabtu, 10 Mei 2008 8:23:14 AM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 10 Mei 2008
8:23:14 AM oleh yajuk
No comments:
Post a Comment