Menelan muntah hantu
mahu jadi badang
biar diri adalah tikus munduk
ulat gonggok pak ko hanguk mengangguk
angguk dan angguk lagi
berpusu merayap mengejar hantu polong
hantu tinggi hantu raya dari kota sang sapurba
lebihlah lagi bila yang datang
pontianak harum sundal malam
penuh harap nikmatnya muntah jembalang
dapat jadi badang perkasa dan terbilang.
Menelan muntah hantu
mahu jadi badang
katak kembong mengaum
terbelah langit dijunjung
bumi dipijak merekah
di mana-mana merekah dan terbelah
berkerapah dan punah
meski sehelai pelikat sekampit beras cuma
hantu bertukar menjadi berhala
dipuja siang malam
badang berhidmat seluruh jiwa raga.
Menelan muntah hantu
mahu jadi badang
PRU hampir datang
beterbanganlah hantu dan jembalang
datang bertandang
melimpah ruahlah muntahan dan kumbahan
memenuhi lurah dan limbahan
badang bersorak kekenyangan
ayam di kepuk mati kelaparan.
Yajuk
Bukit jering
21hb.jan.2008
• SAJAK
> 2008
> Telan Muntah Hantu disumbangkan
pada Khamis, 24 Januari 2008 11:25:30 AM • Kali terakhir diubah pada
Khamis, 24 Januari 2008 11:25:30 AM oleh yajuk
No comments:
Post a Comment